Saturday, November 27, 2010

Pengertian Cuti Bekerja Dalam Hidupku....



Setiap kali aku muhasabah diri tentang hubunganku dengan Pencipta Yang Maha Esa, hubunganku dengan tugasku dan hubunganku sesama manusia, aku amat menginsafi diri betapa perlunya aku mensyukuri setiap nikmat hidup yang diberi. Awal cuti persekolahan penggal terakhir ini bukanlah bererti aku boleh berehat sepenuhnya menikmati seluruh tempoh percutian itu, tetapi tempoh itu perlu kugunakan untuk membuat persiapan dari segi mental dan fizikal, pengurusan, motivasi diri dan pelbagai perkara lain untuk menghadapi tugas pada tahun akan datang.
Bila mengenang tempoh dalam bertugas, rasanya bukan aku bersyukur sepanjang waktu kerana aku terlupa setiap tugas yang aku lakukan itu ada ganjarannya iaitu gaji dan elaun yang tidak pernah mungkir janji di akhir bulan. Namun begitu, aku terlupa bahawa semua kerja yang aku lakukan adalah rezeki... dan bukannya bebanan yang sering dirungut-runguti semasa sibuk dan letih...
Oh...ya Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang...ampunilah hambamu yang tidak tahu bersyukur atas nikmatmu ini... segala kebajikanku sebagai kakitangan awam sudah terjamin...waktu cuti pun gaji dan elaun tetap diberi, tambang percuma sekeluarga diperoleh setiap tahun, cuti rehat, cuti haji, .... pencen...wang persaraan bakal diterima ketika aku akan benar-benar bercuti kerja di hujung perkhidmatan nanti...
Semua yang kuperoleh adalah rezeki dan nikmat... tapi apakah semuanya halal dan berkat? Ampuni aku ya Allah, kumohon halalkan makan minum dan segala kelengkapan hidupku dan anak suamiku serta keluargaku hasil pendapatan setiap bulan dari gaji yang kami perolehi...Kumohon padamu Ya Rabbi, andai terlebih tugas yang kulakukan... jadikanlah ia sedekah jariah, yang terkurang itu Ya Allah...aku mohon rahmatMu...sesungguhnya aku tidak mampu mengelak dari seksa nerakaMu... tapi aku juga tidak layak masuk syurgaMu...
Aku insaf...sangat menginsafi apa yang kulakukan di dunia ini tidak satu pun yang tersembunyi dari timbangan dan audit di akhirat nanti...mudah-mudahan aku terus berada di landasan dan syariatMu Ya Allah kerana aku mahu menjadi hambaMu yang sentiasa bersyukur...Amin Ya Rabbal Alamin....

Wednesday, November 17, 2010

AIDILADHA DALAM KENANGAN

Aidil Adha, hari raya korban dalam pelbagai pengertian, pelbagai sudut dan penerimaan. Tahun 1978, di malam takbir sedang bergema, jam 9.00 malam, kekandaku yang kedua, dalam usia seawal 20 tahun telah dijemput Penciptanya. Allahyarhamah meninggalkan kami, ayah dan bonda, seorang suami dan seorang putera lelaki yang baru menginjak usia setahun...
2001, ketika takbir aidil adha pada hari kedua, ayahandaku pula dijemput Ilahi... semoga roh kedua insan tersayang ini sentiasa mendapat cucuran rahmat daripada-Nya...Allahu Akbar Allahu Akbar Lailahaillahu Allahu Akbar....Allahu Akbar walillahilham...

16 November 2010 ulang tahun kelahiranku,
 17 November 2010 Aidil Adha menjelang,
dan 18 November 2010 usia perkahwinanku genap 16 tahun...
moga usiaku sentiasa dipenuhi dengan perkara-perkara yang bermanfaat.