Hampir tujuh tahun aku tidak menyambut hari raya puasa bersama keluarga di Selangor. Tahun ini memang aku merancang untuk bersama anak-anak dan suami agar dapat bersama-sama menghayati dan menikmati apa erti hari raya di kampung kelahiranku. Tradisi munjung masih lagi diamalkan di sini. Kelmarin aku sibuk membantu emak memasak beberapa jenis lauk dan ketupat untuk dihantar ke rumah jiran dan saudara mara. Emak masak sayur lodeh dan menggoreng ayam, manakala aku merendang kerang. Oleh kerana kudrat emak semakin berkurangan dan aku pula masih belum sihat sepenuhnya, kami memutuskan untuk memasak masakan yang mudah-mudah sahaja. Sebenarnya beberapa hari sebelum ini pun, sudah ada beberapa buah rumah jiran dan saudara mara yang menghantar punjungan. Menjelang petang, emak minta Rahim, anak buahku menghantar punjungan ke rumah saudara mara dan jiran tetangga. Menjelang waktu berbuka puasa, kami menerima pelbagai jenis punjungan termasuklah ketupat, rendang ayam, ayam masak merah, mee goreng, pajeri nenas, dan pelbagai lagi. Esok hari raya. Suasana meriah kunjung mengunjung dan ziarah menziarah ke rumah sanak saudara sudah mula kurasakan. Tradisi kami sewaktu berziarah, kami hanya menghidangkan minuman dan pelbagai kuih. Kami tidak menyediakan makanan berat kerana makanan tersebut telah dikirim semasa munjung sehari atau beberapa hari sebelum hari raya. Bagaimanapun ada juga makanan berat disediakan kepada yang berhasrat berbuat demikian. Biasanya tetamu yang terdiri dari saudara mara tidak akan berhenti datang berduyun-duyun.... inilah eratnya suasana hari raya dalam kalangan keluarga kami. Aku sendiri tidak dapat menjangkakan entah berapa ratus pertambahan ahli keluarga dan sanak saudara baik sebelah emak atau sebelah bapa...