Friday, January 20, 2012

Pokok Mangga Udang Nan Sebatang

Salam petang Jumaat. Sebelum senja bertukar ke malam, sempat Amie merayap ke belakang dapur. Sebelah pokok anggur ada pokok mangga udang nan sebatang. Sebelahnya lagi ada tunggul pokok jambu air madu yang telah ditebang sebab semak sesak sangat kawasan belakang dapur kami dengan pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan. Mangga udang nan sebatang ini setia mengeluarkan buahnya walaupun pokoknya masih kecil. Kami sudah beberapa kali menikmati hasilnya. Amie pernah timbang buah mangga udang yang kami petik. Biasanya melebihi berat 800gram untuk sebiji dan setakat ini paling berat sekitar 1.6kg.


Ada orang kata tak elok tanam pokok mangga di tepi rumah sebab katanya anai-anai suka berumah dipangkal pokok mangga dan nanti boleh meruntuhkan rumah kita!


Beberapa tahun yang lalu, ketika pokok mangga udang nan sebatang ini mula belajar berbuah, sibongsu memetik satu persatu dan diletakkan di perdu pokoknya. Bila Encik Suami pulang dari kerja, katanya rasa sangat sakit dadanya melihat buah mangga putik berlonggok bawah pokok. Si bongsu pun disoal siasat dan dipertanggungjawabkan di atas kejadian itu. Katanya si bongsu, buah mangga sudah besar,jadi petik sajalah! Oh! Si bongsu sebenarnya tidak tahu setakat mana buah mangga udang boleh membesar kerana dia melihat saiz mangga manila di sebelah pokok mangga udang itu lebih kecil! Sangkaannya semua mangga mempunyai saiz yang sama! Gambar mangga udang di atas ini si bongsu yang ambil

Monday, January 16, 2012

Bunga, Putik dan Buah Anggur

Salam  hari Isnin. Petang tadi Amie sempat ambil gambar buah anggur di belakang rumah walaupun sudah remang-remang senja. Buat Cikgu Abdul Hakiim Talib  yang masih terpinga-pinga tentang keajaiban adanya pohon anggur di Lahad Datu, inilah sebenarnya yang ada di belakang rumah Kak Amie. Kebetulan ada putik anggur di celah-celah daun, jadi sempatlah rakam buat tatapan Cikgu Abdul Hakiim. Kalau berminat untuk tanam, nanti boleh minta tolong Encik Suami semaikan. Tangan Kak Amie panas, kalau tanam pokok selalunya tak tumbuh.... ha hahahhha...


Segugus putik anggur.



Inilah bunga anggur yang baru muncul bersama putik-putiknya yang halus.



Putik anggur yang sedang membesar menjadi buah. Okey Cikgu Hakiim? Nanti ada masa boleh datang rumah Kak Amie tengok pokok anggur tu ye!  Bawa Cikgu Misariah Halili sekali tau!

Saturday, January 7, 2012

Anggur Tahun Baru 2012

Salam semua yang sudi datang ke teratak Amie. Dari minggu lepas lagi Encik Suami beritahu ada putik-putik anggur mula kelihatan tapi Amie tidak berkesempatan untuk melihatnya.... macamlah jauh sangat, padahal beberapa langkah saja dari pintu dapur. Sebelum itu, Encik Suami gondolkan kesemua daun anggur dan kebetulan cuaca dingin dan hujan yang berterusan, daun-daun muda pun tumbuhlah semula dengan lebatnya. Petang tadi Amie sempat menjenguk pokok anggur kami dan di bawah ini adalah anggur pertama yang berbuah di awal Januari 2012. 


Tahun lepas 3 kali pokok anggur kami berbuah. Harap tahun ini lebih lebat  lagi buahnya sebab kalau masak rasanya manis. Walaupun nampak hijau tapi sebenarnya bukan anggur hijau. Anggur ini berubah warna ungu ketika masak.


Kesimpulan yang kami perolehi berdasarkan pengalaman, pokok anggur ini hidup lasak sebab walaupun kami tidak menghiraukannya lagi seperti menyiram atau membubuh baja, tetapi ia tetap hidup subur, dan tetap mengeluarkan buah! Suatu masa dahulu memang kami sudah tebang habis pokok anggur ini dan hanya tinggal tunggul, tetapi ia bertunas semula dan kembali menjalar rimbun!


Harap selepas ini kami ada masa untuk memberi perhatian kepada pokok anggur ini.