Sunday, August 14, 2011

Teratak Yang Terbiar

Lama sungguh tak datang sini.... teratak yang telah ditinggalkan berbula-bulan lamanya ini sudah penuh dengan segala macam sawang. Nampak hening suasana sekitarnya, macam terbengkalai saja keadaannya kan...



Bunga orkid putih yang menyerikan kesuraman tamanku yang terbengkalai.....



Orkid tanah warna merah yang ditanam di sudut taman rupanya sudah berbunga. Pokok orkid ini terlindung oleh pokok epal bidara dan pokok mata kucing. Benihnya Amie bawa dari kampung, dua tahun yang lalu dan dibeli di Simpang Kampung Parit Mahang, arah ke Ijok.




Pokok anggur di belakang dapur yang terbiar masih juga mengeluarkan buah walaupun dalam gugus yang kecil.



Masaknya pun tak sekata. Rasa-rasanya anggur ini merajuk sebab sudah tidak dipedulikan lagi.


Namun, ia tetap setia mengeluarkan putiknya, buahnya.... memang kita berntung tinggal di negara tropika. Jika kita tanam anggur, ia akan berbuah sepanjang tahun, tidak perlu menunggu musim bunga atau musim panas seperti di negara hawa sederhana. Cuma, rajin atau malas sajalah untuk menjaganya. Selamat tinggal teratakku.... ada masa nanti akan kukunjungimu lagi kerana komitmenku kini lebih kepada dapur... he he hehhh....

Anggur & Epal Bidara

Rakan-rakan sekerja ada yang teruja dan tidak kurang juga yang masih tidak percaya anggur boleh ditanam dan berbuah di negara kita. Sebulan yang lalu Amie beri benih anggur (semaian) kepada seorang rakan yang memang berminat untuk menanamnya. Tidak sampai tiga minggu pokok anggurnya mati...kenapa? Katanya daunnya kuning dan gugur. Amie tanya.... ada siram tak? Hari-hari saya siram, sementara menunggu pokok anggur membesar dan sesuai untuk dipindahkan, rakan saya letak di bawah tangki air. Dia juga membubuh baja. Oleh kerana benih anggur yang Amie berikan itu berada dalam polibeg, tanahnya pun bukanlah banyak sangat, tidak perlu bubuh baja sebab memang tanah itu sudah sedia subur (boleh bubuh baja tapi beberapa biji saja dan jangan sampai terkena batang pokok anggur yang baru tumbuh), dan ikut pengalaman Amie, pokok anggur tidak boleh terlalu banyak menyimpang /  menampung air. Daun yang menjadi kuning, bererti akibat lebihan air yang diserap oleh batang pokok. (Teladan kisah musim hujan yang tidak menentu sepanjang Disember hingga Mac lepas.... habis gugur buah dan daun-daun anggur.) Bila sudah dipindahkan ke tanah, bubuhlah baja 10 hari sekali di sekeliling pokok tu.


Anggur di atas ni masak tak sekata.... maklumlah asyin mengalami tragedi hujan yang tidak menentu dan berhari-hari pula, kemudian panas terik pula.


Nampak tu... daunnya yang tidak sihat. Seorang lagi rakan yang Amie berikan benih anggur, bila dengar tentang nasib pokok anggur daripada rakan yang satu tadi berkata, pokoknya kelihatan sihat, daun anggurnya masih hijau dan segar dan belum disiram, cuma terkena embun dan tempias air hujan, juga diletakkan di tempat teduhan. Untuk rakan yang kematian pokok anggurnya tadi, Amie berikan sepasu lagi benih anggur yang sudah agak lebat daunnya. Mudah-mudahan rakan-rakanku berjaya memelihara pokok anggur masing-masing sehingga berbuah.



Ini pula buah epal bidara.... Amie bawa sebakul ke sekolah, sesiapa yang bernasib baik dapatlah sebiji seorang. Ada seorang rakan bawa pulang ke rumah, ibu mertuanya pesan suruh tanya Amie...berapa harga sekilo? He.... Amie tak jual... kalau nak petik je di depan rumah...



Buahnya sangatlah lebat.....



Ini hanya gambar kenangan tahun lepas...., separuh pokok tumbang dan suami 'gondolkan' pokok tu... sekarang nampaknya sedang mula berbunga....