Friday, February 17, 2012

Jom Intai Epal Bidara

Dulu putik, kini semakin membesar. Epal bidara mula menonjolkan diri di celah-celah rimbunan daun nan menghijau.


Walaupun kedudukannya agak tersembunyi, tetapi masih boleh dilihat dengan jelas biarpun warnanya hampir sama dengan daun.


Epal bidara di luar pagar, kalau ada sesiapa  yang lalu lalang di hadapan rumah, teringin nak petik dan makan, kami halalkan. Ambillah sahaja.


Ini epal bidara di dalam pagar. He he hehhh... tupai atau serangga apa yang makan buah ini yea. Sudah rezeki mereka, biarlah sama-sama merasa.


Sebenarnya epal bidara yang warna jingga di belakang itu bukannya masak, tapi mula memburuk kerana terlebih kandungan air. Maklumlah, hari-hari asyik hujan.


Tak lama lagi, epal bidara mulai tua dan rasanya menjadi manis serta rangup!

Wednesday, February 15, 2012

Gugus-Gugus Anggur

Salam petang Rabu buat teman-teman pengunjung yang budiman. Di kesempatan keemasan ini Amie ambil peluang untuk  kemas kini cottage yang sering terabai oleh kekangan waktu. Nampaknya gugus-gusu kecil buah anggur semakin membesar walaupun agak jarang Amie ikuti perkembangannya. Gugus anggur di bawah ini berusia kira-kira dua bulan. Amie pun tidak pasti entah berapa biji dalam segugus anggur ini. Mungkin lebih 20 biji.


Oleh kerana gugus-gugus anggur ini agak tersorok di celah batang dan juga daun, Amie pun ambil saja gambar mana yang dapat.


Satu hari nanti memang Amie berhasrat untuk berkongsi pengalaman menanam anggur bersama rakan-rakan blogger, termasuk cara menyemai, menanam, penjagaan dan sebagainya.


Bagaimanapun sebenarnya anggur kami ini jenis yang pandai berdikari! Memang tidak pernah disiram dan dibaja selepas ditanam di belakang rumah, walaupun panas ataupun hujan, ia tetap tumbuh subur. Cuaca di tempat Amie sama saja dengan cuaca dan iklim khatulistiwa di tempat rakan-rakan yang lain.


Bagaimanapun, sebaik-baiknya janganlah abaikan tanaman anda sebab tanaman yang dibelai, dibaja dan dijaga akan menghasilkan pulangan yang memuaskan! Gaya Amie jangan diikut sebab tengoklah di bawah ini....


Ada juga gugus anggur yang tidak sekata pembesarannya. Agaknya kalau kami lebih prihatin terhadap pohon anggur kami, tentu hasilnya atau buahnya lebih banyak dan lebih besar!