Friday, March 23, 2012

Buah Mata Kucing Brazil

Oleh kerana belum boleh mencemar duli ke dapur, jadi bolehlah pijakkan kaki  dan membuka pintu pagar kotej yang terbiar bersawang. Walaupun sudah banyak kali bercerita tentang buah mata kucing Brazil di Amie's Little Kitchen, tetapi sebagai koleksi kotej, sudah sepatutnya buah mata kucing gergasi ini Amie abadikan di sini.


Memang rasa teruja kerana buat pertama kalinya melihat dan merasai keenakan buah mata kucing Brazil hasil tanaman sendiri. Oleh kerana tidak tahu apakah warna kulitnya apabila masak, kami petik buah yang merekah sekembalinya kami dari bercuti di Selangor minggu lepas. Rasanya manis, isinya tebal dan bijinya tidak bulat seperti biji mata kucing biasa. Ada seakan-akan akar serat  pada kulitnya apabila dikupas. Tapi masih tidak dapat dipastikan adakah buah ini telah benar-benar masak.


Sebenarnya benih buah mata kucing Brazil ini kami beli di Pasar Tani Lahad Datu beberapa tahun yang lalu. Oleh kerana ketiadaan ruang untuk bertanam, jadi pokok ini Encik Suami tanam di dalam pasu. Sewaktu kerja ubahsuai kolam ikan di bahagian penjuru halaman rumah, Encik Suami cabut pokok ini dari pasu dan tanam bersebelahan dengan pokok epal bidara. Selepas itu, kami pun tidak mempedulikannya lagi sehingga pada suatu hari kami dapati pokok ini mengeluarkan buah yang agak pelik kerana saiznya yang nampak lebih besar dari mata kucing biasa.


Gambar di atas menunjukkan buah mata kucing yang masih kecil tetapi yang menghairankan buahnya jarang-jarang, dan tidak pula menunjukkan sebarang putik yang gugur.


Banyak cabangnya, tapi buahnya mempunyai jarak di antara sebiji dengan sebiji yang lain. Tak sangka pula keadaannya begitu sebab ia boleh membesar dan perlu ruangan untuk pembesarannya. Pada masa yang sama, kami sebenarnya tidak begitu memperhatikan buah mata kucing yang agak aneh ini kerana sibuk dengan buah epal bidara yang lebat berbuah bersebelahan dengan pokok tersebut.



Sebaik sahaja buah epal bidara menamatkan musim buahnya, tumpuan pun beralih kepada buah mata kucing Brazil ini. Kami menanti perubahan warnanya yang memungkinkan apakah buahnya yang sebenar, longankah atau buah laicikah? Yang pastinya buah ini tidak bulat  sepenuhnya dan tidak pula bujur.


Tetapi tetap menarik perhatian untuk mengikuti perkembangannya dari hari ke hari.



Kebanyakan buahnya terselit dicelah ranting dan tersembunyi serta terlindung oleh daunnya yang berbentuk lebar dan panjang. Dan di bawah ini sudah tentulah buah mata kucing Brazil yang hampir matang. Besar dan lembik bila dipicit pada bahagian luarnya.



Agaknya memang dah boleh dimakan! Tak tahulah kalau warnanya menjadi cokelat sepenuhnya atau masak apabila buahnya mula terasa lembut bila ditekan! Yang pastinya, isinya manis dan tebal.


Pokoknya tidaklah setinggi mana, tetapi tidak rugi cuba menanamnya walaupun tanah sangat terhad. Kami tidak pasti pokok ini boleh membesar sebagaimana pokok mata kucing yang lain tapi rasa seronok dapat menanamnya sebab hasilnya sungguh di luar dugaan baik dari segi saiz, rasa dan keunikannya.


Sekali lagi ucapan terima kasih buatWANI DARI DUNIA DAPURKU yang rupanya pernah membuat entri tentang buah mata kucing Brazil ini. Terjawablah sudah teka-teki dan kemusykilan tentang buah mata kucing gergasi kami. Semoga dengan paparan ini akan bertambahlah info teman-teman mengenai dunia buah-buahan di negara kita.