Salam semua yang sudi datang ke teratak Amie. Dari minggu lepas lagi Encik Suami beritahu ada putik-putik anggur mula kelihatan tapi Amie tidak berkesempatan untuk melihatnya.... macamlah jauh sangat, padahal beberapa langkah saja dari pintu dapur. Sebelum itu, Encik Suami gondolkan kesemua daun anggur dan kebetulan cuaca dingin dan hujan yang berterusan, daun-daun muda pun tumbuhlah semula dengan lebatnya. Petang tadi Amie sempat menjenguk pokok anggur kami dan di bawah ini adalah anggur pertama yang berbuah di awal Januari 2012.
Tahun lepas 3 kali pokok anggur kami berbuah. Harap tahun ini lebih lebat lagi buahnya sebab kalau masak rasanya manis. Walaupun nampak hijau tapi sebenarnya bukan anggur hijau. Anggur ini berubah warna ungu ketika masak.
Kesimpulan yang kami perolehi berdasarkan pengalaman, pokok anggur ini hidup lasak sebab walaupun kami tidak menghiraukannya lagi seperti menyiram atau membubuh baja, tetapi ia tetap hidup subur, dan tetap mengeluarkan buah! Suatu masa dahulu memang kami sudah tebang habis pokok anggur ini dan hanya tinggal tunggul, tetapi ia bertunas semula dan kembali menjalar rimbun!
Harap selepas ini kami ada masa untuk memberi perhatian kepada pokok anggur ini.