Monday, January 16, 2012

Bunga, Putik dan Buah Anggur

Salam  hari Isnin. Petang tadi Amie sempat ambil gambar buah anggur di belakang rumah walaupun sudah remang-remang senja. Buat Cikgu Abdul Hakiim Talib  yang masih terpinga-pinga tentang keajaiban adanya pohon anggur di Lahad Datu, inilah sebenarnya yang ada di belakang rumah Kak Amie. Kebetulan ada putik anggur di celah-celah daun, jadi sempatlah rakam buat tatapan Cikgu Abdul Hakiim. Kalau berminat untuk tanam, nanti boleh minta tolong Encik Suami semaikan. Tangan Kak Amie panas, kalau tanam pokok selalunya tak tumbuh.... ha hahahhha...


Segugus putik anggur.



Inilah bunga anggur yang baru muncul bersama putik-putiknya yang halus.



Putik anggur yang sedang membesar menjadi buah. Okey Cikgu Hakiim? Nanti ada masa boleh datang rumah Kak Amie tengok pokok anggur tu ye!  Bawa Cikgu Misariah Halili sekali tau!

Saturday, January 7, 2012

Anggur Tahun Baru 2012

Salam semua yang sudi datang ke teratak Amie. Dari minggu lepas lagi Encik Suami beritahu ada putik-putik anggur mula kelihatan tapi Amie tidak berkesempatan untuk melihatnya.... macamlah jauh sangat, padahal beberapa langkah saja dari pintu dapur. Sebelum itu, Encik Suami gondolkan kesemua daun anggur dan kebetulan cuaca dingin dan hujan yang berterusan, daun-daun muda pun tumbuhlah semula dengan lebatnya. Petang tadi Amie sempat menjenguk pokok anggur kami dan di bawah ini adalah anggur pertama yang berbuah di awal Januari 2012. 


Tahun lepas 3 kali pokok anggur kami berbuah. Harap tahun ini lebih lebat  lagi buahnya sebab kalau masak rasanya manis. Walaupun nampak hijau tapi sebenarnya bukan anggur hijau. Anggur ini berubah warna ungu ketika masak.


Kesimpulan yang kami perolehi berdasarkan pengalaman, pokok anggur ini hidup lasak sebab walaupun kami tidak menghiraukannya lagi seperti menyiram atau membubuh baja, tetapi ia tetap hidup subur, dan tetap mengeluarkan buah! Suatu masa dahulu memang kami sudah tebang habis pokok anggur ini dan hanya tinggal tunggul, tetapi ia bertunas semula dan kembali menjalar rimbun!


Harap selepas ini kami ada masa untuk memberi perhatian kepada pokok anggur ini.



Monday, December 19, 2011

Epal Bidara di Luar Pagar

Lamanya tidak datang ke sini. Nampak lengang dan sepi.... sesepi hatiku yang sedang gundah - gulana. Sepagi ini Amie susuri taman nan sekangkang kera di penjuru sebelah kiri teratak kami. Rumpun orkid kelihatan layu tapi pokok lidah jin terus subur merimbun biarpun tidak terurus. Rupanya epal bidara berbuah lagi. Entah bila berputik, dan entah bila pula ia berbunga. Julai-julainya yang longlai kelihatan berjuntai di luar pagar sehingga menyentuh pokok bunga siantan.



Epal bidara masih berputik kecil.



Epal bidara di luar pagar.



Kenapa sampai ke luar pagar?



Ada juga yang masih di dalam pagar.



Ini epal bidara di dalam kawasan pagar.



Peristiwa pokok epal bidara yang tumbang pada tahun lepas. Jadi Encik Suami tebang sebahagian besar pokok itu.


Tak lama lagi kalau musim baik, membesarlah buah epal bidara kami. Cantik dan montel! Memang ada rupa epal hijau!

Sunday, August 14, 2011

Teratak Yang Terbiar

Lama sungguh tak datang sini.... teratak yang telah ditinggalkan berbula-bulan lamanya ini sudah penuh dengan segala macam sawang. Nampak hening suasana sekitarnya, macam terbengkalai saja keadaannya kan...



Bunga orkid putih yang menyerikan kesuraman tamanku yang terbengkalai.....



Orkid tanah warna merah yang ditanam di sudut taman rupanya sudah berbunga. Pokok orkid ini terlindung oleh pokok epal bidara dan pokok mata kucing. Benihnya Amie bawa dari kampung, dua tahun yang lalu dan dibeli di Simpang Kampung Parit Mahang, arah ke Ijok.




Pokok anggur di belakang dapur yang terbiar masih juga mengeluarkan buah walaupun dalam gugus yang kecil.



Masaknya pun tak sekata. Rasa-rasanya anggur ini merajuk sebab sudah tidak dipedulikan lagi.


Namun, ia tetap setia mengeluarkan putiknya, buahnya.... memang kita berntung tinggal di negara tropika. Jika kita tanam anggur, ia akan berbuah sepanjang tahun, tidak perlu menunggu musim bunga atau musim panas seperti di negara hawa sederhana. Cuma, rajin atau malas sajalah untuk menjaganya. Selamat tinggal teratakku.... ada masa nanti akan kukunjungimu lagi kerana komitmenku kini lebih kepada dapur... he he hehhh....

Anggur & Epal Bidara

Rakan-rakan sekerja ada yang teruja dan tidak kurang juga yang masih tidak percaya anggur boleh ditanam dan berbuah di negara kita. Sebulan yang lalu Amie beri benih anggur (semaian) kepada seorang rakan yang memang berminat untuk menanamnya. Tidak sampai tiga minggu pokok anggurnya mati...kenapa? Katanya daunnya kuning dan gugur. Amie tanya.... ada siram tak? Hari-hari saya siram, sementara menunggu pokok anggur membesar dan sesuai untuk dipindahkan, rakan saya letak di bawah tangki air. Dia juga membubuh baja. Oleh kerana benih anggur yang Amie berikan itu berada dalam polibeg, tanahnya pun bukanlah banyak sangat, tidak perlu bubuh baja sebab memang tanah itu sudah sedia subur (boleh bubuh baja tapi beberapa biji saja dan jangan sampai terkena batang pokok anggur yang baru tumbuh), dan ikut pengalaman Amie, pokok anggur tidak boleh terlalu banyak menyimpang /  menampung air. Daun yang menjadi kuning, bererti akibat lebihan air yang diserap oleh batang pokok. (Teladan kisah musim hujan yang tidak menentu sepanjang Disember hingga Mac lepas.... habis gugur buah dan daun-daun anggur.) Bila sudah dipindahkan ke tanah, bubuhlah baja 10 hari sekali di sekeliling pokok tu.


Anggur di atas ni masak tak sekata.... maklumlah asyin mengalami tragedi hujan yang tidak menentu dan berhari-hari pula, kemudian panas terik pula.


Nampak tu... daunnya yang tidak sihat. Seorang lagi rakan yang Amie berikan benih anggur, bila dengar tentang nasib pokok anggur daripada rakan yang satu tadi berkata, pokoknya kelihatan sihat, daun anggurnya masih hijau dan segar dan belum disiram, cuma terkena embun dan tempias air hujan, juga diletakkan di tempat teduhan. Untuk rakan yang kematian pokok anggurnya tadi, Amie berikan sepasu lagi benih anggur yang sudah agak lebat daunnya. Mudah-mudahan rakan-rakanku berjaya memelihara pokok anggur masing-masing sehingga berbuah.



Ini pula buah epal bidara.... Amie bawa sebakul ke sekolah, sesiapa yang bernasib baik dapatlah sebiji seorang. Ada seorang rakan bawa pulang ke rumah, ibu mertuanya pesan suruh tanya Amie...berapa harga sekilo? He.... Amie tak jual... kalau nak petik je di depan rumah...



Buahnya sangatlah lebat.....



Ini hanya gambar kenangan tahun lepas...., separuh pokok tumbang dan suami 'gondolkan' pokok tu... sekarang nampaknya sedang mula berbunga....



Tuesday, May 3, 2011

Kraton Yogyakarta

Kami sempat mengunjungi kraton... istana Raja Jawa, yang masih mengamalkan cara tradisi, misalnya lebih 500 pekerja kraton tidak memakai kasut (berkaki ayam), dan yang menariknya di sekitar halaman istana tidak ditanami rumput sebaliknya hanya berlatarkan debu pasir yang diambil khas dari Gunung Merapi. Amie dapat merakam beberapa koleksi peribadi & hadiah yang diterima oleh keluarga kraton ini yang diterima sebagai tanda hubungan diplomatik dengan negara luar...


Ini koleksi set teh yang pernah digunakan oleh Sri Sultan Hamengku Buwono IX.



.... yang mana Amie suka, Amie ambil gambar....





...bekas sayur yang diperbuat daripada tembaga...





....tempat buah berkaki...



...pasu bunga...

Ary's Hotel

Assalamualaikum semua, dah nampak usang betul cottage Amie nan satu ini..., maklumlah asyik masak di dapur saja. Bulan Mac lepas Amie sempat jalan2 cuci mata di Pulau Jawa. Kembara siang malam dari Jawa Barat hingga ke Jawa Tengah.... dari LCCT turun di Jakarta, naik bas parawisata hingga ke Bandung. Menginap satu malam di Grand Serela hotel, sambung perjalanan ke Yogyakarta dan menginap pula di Ary's Hotel. Walaupun bertemakan konsep Bali, tapi ada juga gaya-gaya Eropah terselit di sana-sini terutama di ruang menunggu. Amie sempat rakamkan beberapa gambar....


Kami sampai di hotel ini tepat jam 9.30 malam (orang sini bilang jam setengah 10)... selepas makan di Lesehan Pojok Jalan Malioboro.



Antara hiasan dalaman yang sempat Amie rakam.



Tak tahu pula kenapa bercampur2 konsep yang diterapkan di hotel ini.