Friday, June 22, 2012

Rose Garden

Seronoknya kalau di keliling rumah dipenuhi dengan kuntuman bunga ros!


Cantikkan? Sedap mata memandang.



Nampak tenang dan mendamaikan!



Namun ros seindah ini hanya Amie nikmati di Rose Garden, Kundasang! Sayangnya ketika masuk ke taman idaman ini, kerja-kerja ubahsuai taman sedang dijalankan. Semua pokok bunga dibuang termasuk pokok bunga ros... yang Amie tangkap gambar di atas hanya bunga ros yang tinggal, hampir kering dan layu!

Wednesday, June 20, 2012

Old Garden Roses : Kundasang War Memorial

Setiap kali kami pergi ke kota Kinabalu, pasti kami singgah dalam perjalanan pergi atau balik di Kundasang. Amie tidak lepaskan peluang mendaki anak tangga War Memorial Kundasang. tempat pertama yang Amie tuju tentulah  English Garden. Menikmati keindahan dan kecantikan mawar kuno yang sangat Amie minati!


Bunganya kecil, warnanya lembut dan batangnya melekap di dinding tembok batu yang kukuh. Empat tahun lalu, kami beli sepasu benih bunga ros kuno ini dengan harga RM50 setelah tawar-menawar dengan si penjual. Kami tanam di tepi rumah, dijaga, dibaja dan ditanam sebaris dengan bunga ros merah desa.


Sayangnya, hanya ros merah desa yang produktif mengeluarkan bunga sedangkan ros kuno @ old garden rose tidak menunjukkan sebarang tanda untuk berbunga! Rupa-rupanya ros jenis begini hanya berbunga sekali dalam semusim! Ohhh...OLD GARDEN ROSES! Berbungalah dikau walau hanya sekali.

Tuesday, May 29, 2012

Mari Menanam Anggur I

Suatu ketika dahulu, beberapa orang pengunjung blog ini meminta jasa baik Amie untuk berkongsi pengalaman menanam anggur. Ahamdulillah, kali ini Amie berkesempatan untuk bercerita tentang pengalaman Amie sendiri, serta beberapa rujukan dari beberapa buah blog lain sebagai info tambahan. Bagaimanapun, tanaman anggur yang Amie maksudkan di sini bukanlah untuk tujuan komersial, melainkan hanya mengisi kegemaran masa lapang sahaja terutama kepada mereka yang minat berkebun. Apabila disebut tentang buah anggur, tentu anda akan membayangkan seperti di bawah ini:



Untuk menghasilkan buah anggur secara komersial, sudah tentu memerlukan banyak persediaan termasuk modal, benih yang berkualiti, pembajaan yang teratur dan sebagainya. Namun untuk tanaman bagi memenuhi masa lapang tidaklah sesukar seperti yang dibayangkan. Anda tidak perlu rasa kecewa kerana tidak memiliki tanah yang luas, memadailah anda mempunyai minat dan kesungguhan untuk menanamnya.

Kelmarin, Amie sempat menghantar sepasu benih anggur untuk seorang rakan yang bertugas di Perpustakaan Negeri Sabah, Cawangan Lahad Datu. Cuba lihat benih anggur di bawah ini. Anak benih semaian Encik suami ini berusia lebih kurang 3 bulan. Sekiranya dijaga dengan rapi, dengan pembajaan dan disiram mengikut jadual, anak benih ini akan kelihatan lebih subur. (Sebenarnya kami terlupa semaian anak benih ini, dan ia terbiar di bawah teduhan tanpa diberi baja dan disiram. Syukurlah anak benih ini tumbuh dengan sihat dan mudah-mudahan rakan yang menerima benih ini merasa gembira).


Walaupun hanya satu pasu tetapi ada 2 batang benih yang disemai. Insya-Allah selepas ini Amie akan tuliskan bagaimana langkah seterusnya untuk menanam anggur di rumah sendiri, di belakang rumah, di hadapan rumah atau di tepi rumah.

Saturday, May 19, 2012

Mangga Udang

Mangga udang yang penghabisan untuk musim ini.



Friday, March 23, 2012

Buah Mata Kucing Brazil

Oleh kerana belum boleh mencemar duli ke dapur, jadi bolehlah pijakkan kaki  dan membuka pintu pagar kotej yang terbiar bersawang. Walaupun sudah banyak kali bercerita tentang buah mata kucing Brazil di Amie's Little Kitchen, tetapi sebagai koleksi kotej, sudah sepatutnya buah mata kucing gergasi ini Amie abadikan di sini.


Memang rasa teruja kerana buat pertama kalinya melihat dan merasai keenakan buah mata kucing Brazil hasil tanaman sendiri. Oleh kerana tidak tahu apakah warna kulitnya apabila masak, kami petik buah yang merekah sekembalinya kami dari bercuti di Selangor minggu lepas. Rasanya manis, isinya tebal dan bijinya tidak bulat seperti biji mata kucing biasa. Ada seakan-akan akar serat  pada kulitnya apabila dikupas. Tapi masih tidak dapat dipastikan adakah buah ini telah benar-benar masak.


Sebenarnya benih buah mata kucing Brazil ini kami beli di Pasar Tani Lahad Datu beberapa tahun yang lalu. Oleh kerana ketiadaan ruang untuk bertanam, jadi pokok ini Encik Suami tanam di dalam pasu. Sewaktu kerja ubahsuai kolam ikan di bahagian penjuru halaman rumah, Encik Suami cabut pokok ini dari pasu dan tanam bersebelahan dengan pokok epal bidara. Selepas itu, kami pun tidak mempedulikannya lagi sehingga pada suatu hari kami dapati pokok ini mengeluarkan buah yang agak pelik kerana saiznya yang nampak lebih besar dari mata kucing biasa.


Gambar di atas menunjukkan buah mata kucing yang masih kecil tetapi yang menghairankan buahnya jarang-jarang, dan tidak pula menunjukkan sebarang putik yang gugur.


Banyak cabangnya, tapi buahnya mempunyai jarak di antara sebiji dengan sebiji yang lain. Tak sangka pula keadaannya begitu sebab ia boleh membesar dan perlu ruangan untuk pembesarannya. Pada masa yang sama, kami sebenarnya tidak begitu memperhatikan buah mata kucing yang agak aneh ini kerana sibuk dengan buah epal bidara yang lebat berbuah bersebelahan dengan pokok tersebut.



Sebaik sahaja buah epal bidara menamatkan musim buahnya, tumpuan pun beralih kepada buah mata kucing Brazil ini. Kami menanti perubahan warnanya yang memungkinkan apakah buahnya yang sebenar, longankah atau buah laicikah? Yang pastinya buah ini tidak bulat  sepenuhnya dan tidak pula bujur.


Tetapi tetap menarik perhatian untuk mengikuti perkembangannya dari hari ke hari.



Kebanyakan buahnya terselit dicelah ranting dan tersembunyi serta terlindung oleh daunnya yang berbentuk lebar dan panjang. Dan di bawah ini sudah tentulah buah mata kucing Brazil yang hampir matang. Besar dan lembik bila dipicit pada bahagian luarnya.



Agaknya memang dah boleh dimakan! Tak tahulah kalau warnanya menjadi cokelat sepenuhnya atau masak apabila buahnya mula terasa lembut bila ditekan! Yang pastinya, isinya manis dan tebal.


Pokoknya tidaklah setinggi mana, tetapi tidak rugi cuba menanamnya walaupun tanah sangat terhad. Kami tidak pasti pokok ini boleh membesar sebagaimana pokok mata kucing yang lain tapi rasa seronok dapat menanamnya sebab hasilnya sungguh di luar dugaan baik dari segi saiz, rasa dan keunikannya.


Sekali lagi ucapan terima kasih buatWANI DARI DUNIA DAPURKU yang rupanya pernah membuat entri tentang buah mata kucing Brazil ini. Terjawablah sudah teka-teki dan kemusykilan tentang buah mata kucing gergasi kami. Semoga dengan paparan ini akan bertambahlah info teman-teman mengenai dunia buah-buahan di negara kita.

Friday, February 17, 2012

Jom Intai Epal Bidara

Dulu putik, kini semakin membesar. Epal bidara mula menonjolkan diri di celah-celah rimbunan daun nan menghijau.


Walaupun kedudukannya agak tersembunyi, tetapi masih boleh dilihat dengan jelas biarpun warnanya hampir sama dengan daun.


Epal bidara di luar pagar, kalau ada sesiapa  yang lalu lalang di hadapan rumah, teringin nak petik dan makan, kami halalkan. Ambillah sahaja.


Ini epal bidara di dalam pagar. He he hehhh... tupai atau serangga apa yang makan buah ini yea. Sudah rezeki mereka, biarlah sama-sama merasa.


Sebenarnya epal bidara yang warna jingga di belakang itu bukannya masak, tapi mula memburuk kerana terlebih kandungan air. Maklumlah, hari-hari asyik hujan.


Tak lama lagi, epal bidara mulai tua dan rasanya menjadi manis serta rangup!

Wednesday, February 15, 2012

Gugus-Gugus Anggur

Salam petang Rabu buat teman-teman pengunjung yang budiman. Di kesempatan keemasan ini Amie ambil peluang untuk  kemas kini cottage yang sering terabai oleh kekangan waktu. Nampaknya gugus-gusu kecil buah anggur semakin membesar walaupun agak jarang Amie ikuti perkembangannya. Gugus anggur di bawah ini berusia kira-kira dua bulan. Amie pun tidak pasti entah berapa biji dalam segugus anggur ini. Mungkin lebih 20 biji.


Oleh kerana gugus-gugus anggur ini agak tersorok di celah batang dan juga daun, Amie pun ambil saja gambar mana yang dapat.


Satu hari nanti memang Amie berhasrat untuk berkongsi pengalaman menanam anggur bersama rakan-rakan blogger, termasuk cara menyemai, menanam, penjagaan dan sebagainya.


Bagaimanapun sebenarnya anggur kami ini jenis yang pandai berdikari! Memang tidak pernah disiram dan dibaja selepas ditanam di belakang rumah, walaupun panas ataupun hujan, ia tetap tumbuh subur. Cuaca di tempat Amie sama saja dengan cuaca dan iklim khatulistiwa di tempat rakan-rakan yang lain.


Bagaimanapun, sebaik-baiknya janganlah abaikan tanaman anda sebab tanaman yang dibelai, dibaja dan dijaga akan menghasilkan pulangan yang memuaskan! Gaya Amie jangan diikut sebab tengoklah di bawah ini....


Ada juga gugus anggur yang tidak sekata pembesarannya. Agaknya kalau kami lebih prihatin terhadap pohon anggur kami, tentu hasilnya atau buahnya lebih banyak dan lebih besar!