Tuesday, June 15, 2010

TERITIP

Novel Teritip merupakan hasil Hadiah Penghargaan Peraduan Menulis Novel Dewasa 2003 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah Sempena 40 Tahun Sabah Merdeka Melalui Malaysia. Diterbitkan pada tahun 2007 dan ulang cetak pada 2009.

Idea untuk menghasilkan novel Teritip bermula seawal tahun 1995, pada suatu petang ketika melewati gudang tembakau yang hampir runtuh di Lembah Segama Lama. Berdasarkan peristiwa di zaman pentadbiran Jepun dan kolonial British seperti yang diceritakan oleh Tuan Imam Hj. Rilay, hati tercuit untuk melihat dengan lebih dekat bangunan usang yang seakan-akan memanggil untuk berkongsi sesuatu yang belum mampu dirungkai. Sebenarnya ia bukan lagi sebuah bangunan melainkan beberapa batang tiang yang menjadi penahan tulang bumbung. Tiada lagi dinding atau seumpamanya yang boleh dikatakan sebagai binaan tertentu. Sekiranya Tuan Imam Hj. Rilay dan Puan Hajah Juriah tidak bercerita dengan panjang lebar, tidaklah diketahui apa sebenarnya fungsi runtuhan binaan ini. Apa yang begitu mengharukan ialah apabila kedua-dua insan ini mengimbas kembali kenangan lampau mereka, tahun-tahun terakhir di bawah pentadbiran Clunies Ross, kisah pelayaran mereka bersama kumpulan penghijrah yang lain menumpang kapal kargo dari Kepulauan Cocos merentas Lautan Hindi, mendarat seketika di Pulau Singapura dan meneruskan pelayaran ke Borneo Utara.
Kami memasuki satu ruang kecil di bahagian belakang runtuhan bangunan. Bayangkan, kesan tinggalan kolonial masih dapat dilihat biarpun hanya cebisan guni dan tembakau...... dari situ bermulalah pencarian sebuah asal keturunan berdasarkan fakta sejarah, sumber pertama, serta kerinduan terhadap kenang-kenangan hidup di lautan karang.
Buat Bonda Allahyarhamah Hajah Juriah Alimin:
Al-Fatihah, moga rohmu dicucuri rahmat-Nya. Dongengmu kekal dalam ingatan anak cucu.
Buat Ayahanda Tuan Imam Haji Rilay:
Mudah-mudahan generasi kita seterusnya mengenal asal usul dan sentiasa akan mampu diri.

Terima kasih kepada Encik Daniel Jebon Janaun yang memberi peluang, semangat, dan perangsang Kuasa Motivasi.

Kalimatmu itu tidak akan kulupakan: Penulis itu jurubina bangsa, teruskan usahamu berkarya.

1 comment:

farwalis said...

terima kasih untuk novel ini. cara untuk membayangkan kehidupan melayu Cocos. :)